Penyerahan Projek Titian Amal sempena HUT ABDB Ke-64




Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pertahanan





TUTONG, Jumaat, 1 Mei. - Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah mengadakan Majlis Penyerahan Projek Titian Amal sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB (HUT ABDB) Ke-64, sebagai sebahagian daripada inisiatif jangkauan masyarakat.


Majlis tersebut berlangsung di rumah kediaman baharu Dayang Saliha binti Haji Kamis di Kampung Penanjong, Daerah Tutong.


Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan. Turut hadir, Penolong Pengarah Urusan Perkhidmatan Kebajikan dan Pembangunan Sosial Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), Awang Iswandy bin Ahmad.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Mejar Narulismandy@Anwar Hadi bin Haji Samaih, diikuti dengan penyampaian tazkirah disampaikan oleh Timbalan Pegawai Turus Inspektorat Agama JAMA'AT, Kapten Mohammad Ayza Azrine bin Ayahani.


Seterusnya, taklimat projek telah disampaikan oleh Pengerusi Projek Titian Amal, Kapten Sheril Shahizwan bin Tikom, bagi rumah kediaman Dayang Saliha.


Tetamu kehormat seterusnya menyampaikan cenderamata kenangan kepada Dayang Saliha sebagai simbolik penyerahan rasmi projek pembinaan rumah kediaman beliau yang telah siap dilaksanakan.


Kerja-kerja pembinaan telah dilaksanakan selama tiga bulan, bermula dari 3 Februari 2026 hingga 1 Mei 2026, melalui kerjasama erat anggota Rejimen Jurutera, Tentera Darat Diraja Brunei.


Projek ini dibiayai melalui peruntukan Tabung Sumbangan Bantuan Membaik Pulih dan Menaik Taraf Rumah di bawah Skim Perumahan YSHHB berjumlah BND43,445.16.


Majlis ini merupakan penyerahan keempat dan terakhir bagi Projek Titian Amal yang dilaksanakan di seluruh negara sempena Sambutan HUT ABDB Ke-64.


Projek Titian Amal merupakan inisiatif tahunan ABDB yang bertujuan memperkukuh hubungan antara ABDB dan masyarakat, di samping memupuk semangat kesukarelawanan serta mempertingkatkan kerjasama dengan komuniti setempat dan agensi-agensi kerajaan.


Close